Wednesday, February 14, 2007

Haji Ali Bin Haji Musa ( 1926 – 1998 )

Pendahuluan

Sepanjang pengetahuan penyusun sehingga akhir tahun 1990an, tidak banyak wujud institusi pondok yang beroperasi secara penuh masa yang dikendalikan oleh seorang bertaraf Tuan Guru di Negeri Sembilan kecuali Pondok Haji Ali di Siliau. Pondok ini terletak lebih kurang 5 km dari Pekan Rantau dan terdapat papan tanda tertulis “Yayasan Pondok Haji Ali” dalam tulisan jawi yang menjadi penunjuk jalan ke pondok tersebut. Dari simpang jalan besar, kita akan melalui kawasan taman perumahan baru dan jalan kecil bertar yang ditumbuhi semak samun di kiri kanan jalan lebih kurang 0.8 km. Ketika hidupnya, penyusun tiada kesempatan untuk menziarahi Tuan Guru ini walaupun ramai rakan-rakan seperjuangan menyebut kelebihan berguru di pondok tersebut.

Latar Belakang

Nama penuh Tuan Guru ini ialah Haji Ahmad @ Ali Bin Haji Musa. Allahyarham dilahirkan dalam tahun 1926 di kampung ini. Ibunya bernama Jumah Binti Pawang Jali. Haji Ali pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Isteri pertamanya orang tempatan, kedua dari Seremban dan terakhir dengan gadis Kelantan. Beliau memperolehi ramai anak antaranya ialah Haji Mohsin[12], Ehsan, Rodiah, Mardhiah, Rohani dan Ahmad. Dengan isteri dari Kelantan, beliau mendapat anak lelaki bernama Ibrahim yang kini masih mengaji di Sik, Kedah bersama ibunya. Kampung Siliau terletak dalam Mukim Rantau dan berhampiran Linggi yang banyak melahirkan ulama terbilang.

Pendidikan

Allahyarham Haji Ali mula berguru dengan Tuan Sheikh Ahmad Said Mufti Negeri Sembilan di Pondok Rasah, Seremban lebih kurang 5 tahun dalam tahun 1930an. Dari Sheikh Ahmad inilah beliau mewarisi amalan tarekat Ahmadiah. Selepas itu beliau memondok pula di Padang Renggas, Perak dan terakhir di Pendang, Kedah. Haji Ali pernah mengajar di Pondok Tanah Merah, Pendang iaitu berdekatan dengan Pekan Pendang sekarang. Lebih kurang 5 tahun pula ia berkhidmat di sana sebelum memutuskan untuk balik ke kampung halaman. Menurut Abdul Aziz Bin Yaakob atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Janggut,[13] Allahyarham berhenti mengajar di Pendang apabila dibayar gaji oleh Jawatankuasa Pondok. Beliau tidak mahu menerima gaji dan sebelum itu guru-guru pondok hanya menerima infak dari kutipan zakat sahaja. Beliau amat berhati-hati dalam menerima pemberian atau mencari rezeki.


Membuka Pondok

Pondok Haji Ali di Siliau ini mula dibuka di awal tahun 1970an atau sebelum tahun 1974. Penuntut-penuntut yang memondok di sini datang dari serata negeri termasuklah dari Sabah, Sarawak dan Indonesia. Ramai kalangan anak muridnya berjaya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian dalam dan luar negara seperti di Aceh, Mesir, Madinah, Yaman dan Jordan. Nama beliau turut dikenali oleh pensyarah-pensyarah di Universiti Timur Tengah kerana kebolehannya dalam mengajar ‘saraf nahu Bahasa Arab’ sehingga dikatakan ada pensyarah yang menyarankan penuntut-penuntut Melayu yang lemah menguasai Bahasa Arab supaya balik belajar dengan Tuan Guru ini.

Di pondok ini, Tuan Haji Ali mengajar secara langsung dan mencurahkan ilmu agama tanpa mengenal penat lelah. Kelebihan yang ketara ialah beliau mampu mengajar dari pagi hingga larut malam secara solo. Pernah Tuan Guru sakit dalam tahun 1987, beliau masih sanggup mengajar walaupun di perbaringan kerana uzur. Murid-murid akan mengelilingi Tuan Guru mereka untuk mendapatkan ilmu. Sebelum akhir hayatnya, ramai penuntut dari universiti tempatan datang berguru. Beliau memuji pelajar-pelajar universiti yang mudah menerima ilmu yang disampaikannya. Miskipun begitu, ramai juga penuntut-penuntut yang dianggap lemah berjaya mendapat pendidikan tinggi selepas diasuh dari pondok ini.[14]

Perwatakan

Allahyarhan Haji Ali dikatakan bertubuh badan sederhana dan peramah. Mudah bermesra dengan sesiapa sahaja tanpa membezakan usia atau kedudukan. Beliau mudah mengangkatkan kedua belah tangannya apabila bertemu kenalan. Menariknya, Tuan Guru ini gemar mendekati golongan yang dianggap nakal atau jauh dari penghayatan Islam. Padanya mereka perlu didekati dan didakwahi secara hikmah dan bukan dijauhi. Beliau juga tidak keberatan mempelawa wanita yang tidak bertudung kepala untuk membonceng ( menumpang) motosikalnya. Dalam kesempatan itu beliau akan menyampaikan dakwahnya secara tidak langsung.

Walau bagaimanapun, Allahyarham agak teguh pendirian dan tegas memastikan murid-muridnya di pondok menghayati tuntutan agama. Beliau akan mendenda sesiapa yang dijumpai merokok di kawasan pondok. Jika terserempak, alamatnya mereka akan dipaksa memikul puntung rokok tersebut.

Kegigihannya dalam mengajar agama ini dikagumi ramai orang. Beliau pernah ditanyakan tentang rahsia atau pertua yang membolehkan beliau berjaya mengajar ramai penuntut, Tuan Guru yang warak ini hanya mengulang perkataan “ senang” beberapa kali dan diakhir dengan “..sabar..”. Itulah jawapan yang ringkas dan bersahaja keluar dari mulutnya. Mungkin kerana sifat kesabaran ini membolehkan beliau mencurahkan ilmu di dada hingga larut malam tanpa mengenal erti penat lelah.

Kitab

Allahyarham sempat menghasilkan kitab terjemahan/ tafsir Al Quraan bagi Surah Al Waqiah, Kitab bagi kaedah nahu Bahasa Arab ( dalam tulisan jawi) dan berkaitan tasawuf. Banyak kitab-kitab dari tulisan tangannya dipinjam atau berpindah tangan di kalangan anak-anak muridnya.

Kelebihan Guru

Melalui perkhabaran mereka yang pernah berguru dengan beliau, mereka mengatakan Tuan Guru Haji Ali seolah-olah dapat membaca persoalan dalam minda penuntutnya dan beliau akan menjawab atau menghuraikan permasalahan tersebut secara jelas. Beliau mampu mengajar tanpa buku atau nota di tangan dan berupaya mengawasi penuntutnya seramai 98 orang dalam suatu masa. Allahyarham Haji Ali menentukan tempat pengajian lanjutan kepada anak-anak muridnya. Jika beliau merasakan mereka berkebolehan untuk membuka pondok maka diarahkannya pergi menuntut di Mekah. Sebaliknya jika terfikir untuk makan gaji maka disuruhnya ke Mesir dan lain-lain tempat.

Murid-murid yang ke Mekah bukan belajar di pusat pengajian formal tetapi mengaji dengan ulama tertentu sekitar Mekah. Pengajian dijalankan secara terbuka dan ada kalangan guru mereka itu seolah-olah telah diberitau oleh Haji Ali tentang kehadiran anak murid beliau. Antara guru-guru yang mengajar di Mekah ini ialah Sheikh Abdullah Mas’ud yang berasal dari Petani. Beliau berusia lebih 60 tahun dan menetap di Mekah sejak umur 8 tahun mengikut datuknya. Guru yang lain ialah Sheikh Muhamad Sedawa Al Patani dan Sheikh Abdul Hamid Naimul Azmi dari Lobok, Indonesia. Semua guru-guru ini adalah pengamal tarekat Ahmadiah sama dengan amalan Tuan Guru Haji Ali.[15]

Ramai orang kampung dan anak muridnya yang menunaikan fardhu haji terserempak dengan beliau di tanah suci sedangkan beliau tidak termasuk kalangan jamaah haji musim tersebut. Allahyarham juga dikatakan boleh hadir di suatu tempat yang jauh tanpa menaiki kenderaan.[16]

Kematian

Sebelum hari kematiannya, Allahyarham ada memberitahu murid-muridnya bahawa ada tetamu telah datang menjemputnya. Salah seorang muridnya Cikgu Mokhtar[17], berada di sisi Tuan Guru ketika beliau sedang di ambang sarakatul maut. Beliau dan beberapa anak murid melihat dengan jelas lidah Haji Ali bagai kaca yang berkilau. Ratib zikirullah dapat didengari keluar dari lehernya.

Malam hari kematiannya, hujan turun dengan lebat. Banyak kawasan yang tidak pernah banjir telah dinaiki air. Muridnya bernama Zamri Zakaria[18] dan Haji Nizarfar Hamthan menyaksikan pokok-pokok kayu rebah ke bumi ketika mereka memandu kereta untuk membuat laporan kematian di Balai Polis Rantau, tetapi anehnya apabila dalam perjalanan pulang tiada pula pokok-pokok yang tumbang. Terdapat juga dakwaan melihat buaya-buaya Sungai Linggi naik ke tebing sungai. Pendek kata terdapat perkara-perkara pelik tapi benar telah berlaku di hari kematian Tuan Guru yang warak ini.

Allahyarham Haji Ahmad @ Ali bin Haji Musa meninggal dunia pada tanggal 1 April 1998 dalam usia 74 tahun. Kematian beliau dianggap kehilangan besar bagi penduduk negeri ini kerana hanya beliau sahaja yang berjaya bertahan menghidupkan institusi pondok di negeri adat perpatih ini sehingga akhir abad kedua puluh. Pengajian agama di pondoknya disambung pula oleh anak sulungnya Ustaz Mohsin Haji Ali yang mengajar secara separuh masa sahaja kerana masih berkhidmat di sebuah sekolah di Linggi. Kita berdoa agar pusat pengajian ini akan berkekalan dan pewarisnya meneruskan perjuangan Tuan Guru tersebut untuk mendidik anak bangsa dalam bidang agama. Amin.

7 Comments:

Blogger snowfly606 said...

Hello! Mozilla Firefox web browser has updated,Please visit my blog,Free download Quickly

6:37 PM  
Blogger . said...

alhamdulillah...

bagusnya...harap dapat teruskan penulisan sebegini...

7:57 PM  
Blogger ismi_enis said...

semoga institusi pondok kembali ke era kegemilangannya..

InsyaAlloh..

5:31 AM  
Blogger madarasah_nurul_iman said...

Assalamualaikum,

Anak bongsu dia ada mengaji di Madrasah Nurul Iman Batu 5, Sik, Kedah. Dan sekarang ini menyambung pengajian di Syria. Ibunya yang juga isteri ke-2 kepada Tuan Guru Haji Ali Seliau juga menjadi tenaga pengajar di Madrasah tersebut.

http://nuruliman.net/
http://rohzikir.wordpress.com/

4:09 PM  
Blogger hjhanafi_y said...

Syukur alhamdulillah...Tuan Hj Ibrahim amat saya hormati..beliau adalah tuan guru agama saya semasa di sekolah rendah Bongek & menengah Undang Wak Rembau,NS..Dia jugak berpangkat bapa saudara saya yang saya panggil Pak Long Braim dan selalu saya tolong menyapu sampah dihalaman dan angkat air perigi utk memenuhi kolam madrasahnya bagi keperluan bersuci solat..Haji Ibrahim amat bersifat lemah lembut dan tegas..setiap ape yg di suruh pasti saya lakukan dgn cepat..kalau lewat lewatlah kami utk belajar agama dan menjejaskan waktu kami nak belatih bermain badminton digelanggang yang disediakan khas utk kami bertanding dgn anak2-cucunya yg pandai terror bermain sukan..Sungguh seronok waktu tu..membahagiakan penghidupan harian.terima kasih PAKLONG BRAIM.

12:25 AM  
Blogger Mohd Taufek said...

AlhamduliLlah, saya sempat belajar dengan Al Marhum TG Hj Ali , Pondok Siliau, sekitar tahun 1994/95. Mengikut yang diberitakan dari teman2 dan saya yakin kebenarannya. Al-Marhum banyak menerima sumbangan wang tunai dari penderma2, mana-mana sumbangan yang benar-benar halal sumbernya akan Al-Marhum gunakan dan mana-mana yang diragui sumbarnya akan dicampakkan di bawah katil dalam kamar Al-Marhum. Dan diberitakan di hari Al-Marhum meninggal dunia, jumlah wang tunai yg terkumpul di bawah terlalu banyak dan adanya yang telah rosak. Saya turut berkesempatan mendengar khutbah Jumaat beliau di Masjid Kg Siliau yang sangat mengesankan terutama ttg persiapan kita menghdapai kematian. Al-Fatihah.

8:27 AM  
Blogger Zaharah Hashim said...

Baarokallah.

5:13 AM  

Post a Comment

<< Home