Ulama' Kito

Tuesday, January 30, 2007


Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd Dahan 1907-1997

Pendahuluan

Hampir setahun penyusun tidak menyusuri jalan-jalan kampung di negeri adat perpatih dalam ekspedisi menjejaki ulama silam. Apabila membaca email yang dihantar rakan seperjuangan mengenai Ijtima’ Tholabah Pondok bagi meraikan majlis sambutan 70 tahun Madrasah Al Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim di Bongek, Rembau pada 16 hingga 18 Febuari 2007 penyusun kembali ghairah untuk menambah-muat blogsite Ulama Negeri Adat Perpatih yang telah penyusun usahakan sekian lama.

Majlis bertuah itu difahamkan akan dihadiri beberapa tokoh ulama tersohor dalam membentangkan kertas kerja dan menjadi panel forum bagi memenuhi acara yang telah disusun sebegitu rupa. Antara tokoh-tokoh yang disebut ialah Tuan Guru Dr Haji Muhibuddin Al Waliyy Al Khalidi dari Acheh tanah rencung, Tuan Guru Haji Ismail Sepanjang, Fathoni dan penyusun biografi ulama nusantara yang cukup berjasa iaitu Ustaz Wan Mohd Shaghir. Majlis gilang gemilang memperingati ulama ini akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Muhamad Hassan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Latar Belakang Tuan Guru

Penyusun menyalin semula profil tokoh ini sepertimana yang tertera dalam media internet tersebut untuk tatapan pembaca. Insyaallah, jika ada kesempatan penyusun akan menggali susur galur kehidupan tokoh ini dari waris-warisnya nanti.

Nama penuh tuan guru ialah Haji Ibrahim bin Mohd Dahan. Allahyarham dilahirkan di kampung Seri Lemak, Rembau dalam tahun 1907. Bapanya Encik Mohd Dahan bin Hassan dan ibunya pula Puan Lijah binti Mohd Arshad.

Tuan guru ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Salak dalam tahun 1916- 1922 dengan kelulusan darjah 5. Guru al Qurannya di kampung ialah Tuan Mumkin Dhahir bin Darus dan kemudian mendalami ilmu tajwid dengan Tuan Haji Muhamaad haji Mustafi. Pengajian kitab-kitab dan Bahasa Arab diikutinya melalui lidah Tuan Guru Haji Mustaffa Haji Mohamad ( rujuk biografi tokoh ini dalam lembaran berkaitan) di kuliah yang diadakan di surau Pekan Chengkau, Masjid Seri Lemak dan Masjid Pekan Rembau.

Dalam tahun 1925-1930 Haji Ibrahim melanjutkan pengajian agamanya di sekolah Arab Al Ahmadiah, Alor Setar dan belajar ilmu falak dengan Tuan Guru Haji Wan Sulaiman Wan Sidik Syeikh Islamiah, Kedah. Beliau kemudiannya memondok pula selama satu tahun setengah. Selain negeri jelapang padi itu menjadi tumpuan menimba ilmu agama, Haji Ibrahim tidak melepaskan peluang untuk menadah kitab dengan di pusat pengajian di Kota Bharu selama 4 tahun. Di sana beliau mendalami ilmu agama dengan beberapa tuan guru terkenal dan mendalami pelajaran ilmu falak yang diminatinya. Haji Ibrahim turut belajar dengan tokoh ulama terkemuka zaman itu iaitu Tok Kenali selama beberapa tahun sebelum ulama besar itu meninggal dunia.

Mencurah khidmat

Pada akhir tahun 1935 beliau balik ke kampung dan mula mengajar serta membuka pondok di Kampung Bongek. Allahyarham juga turut dipanggil mengajar dibeberapa surau dan masjid di Tampin dan Johol. Bagi merealisasikan ilmu di dada, beliau menubuhkan Madrasah Islamiah Bongek dalam tahun 1946. Difahamkan setiap tahun hingga tahun 1959, madrasah tetap mengadakan majlis ikhtifal. Ramai tokoh terkenal agama dan politik khususnya pimpinan PAS yang hadir ke majlis itu termasuklah Tuan Haji Ahmad Fuad, Profesor Zulkiefli Mohamad, Doktor Burhanudin Helmi dan Ustaz Mohd Fadhihalluah Suhaimi.

Pada tahun 1949, Allahyarham menunaikan fardhu haji dan sempat belajar kitab Ahzab dan mengambil Tarekat Ahmaddiah dari Tuan Guru Shafie Kedah. Beliau turut diberi tauliah untuk mengajar amalan tersebut.. Di sana juga beliau mengaji dengan Tuan Guru Sulaiman Ambon. Dalam tahun 1962 hingga 1968, Haji Ibrahim mengajar secara formal di Sekolah Menengah Undang Rembau. Setahun kemudiannya dilantik memegang jawatan penguatkuasa zakat fitrah baitulmal di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Tahun 1974, Haji Ibrahim lagi sekali berpeluang mengerjakan haji dan mengadakan ziarah ke Mesir, Turki dan India. Ramai rakan-rakan sepengajian beliau yang turut berbakti dalam menyibarkan ilmu agama seperti Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang , Haji Abdul Ghani pondok Pasir Mas, Tuan Guru Haji Abdul Aziz Ibrahim di Pendang, Tuan Haji Salleh Kemboja dan Haji Mohd Yatim Zainal Abidin.

Menulis Kitab

Selain berjihad mengajar ilmu agama dengan jadual kuliah yang padat, Haji Ibrahim masih sempat mengarang risalah-risalah berharga iaitu:

· Kitab Nurul Aulad.
· Taqwim Sholat bagi kawasan Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka dalam tahun 1954.
· Risalah kecil mengandungi doa, waktu sholat dan Arah Qiblat, 1976.
· Risalah mengerjakan haji dan umrah serta teks khutbah jumaat dan hari raya.

Penghargaan

Bagi mengenang jasa perkhidmatannya, Allahyarham pernah dinobatkan sebagai tokoh pengkhidmat masyarakat Daerah Rembau oleh Dato’ Undang Luak Rembau dan Pentadbir Daerah Rembau pada 16 Oktober 1988.