Thursday, April 20, 2006

Haji Hassan Basir ( 1915 – 1978)
.
Latar Belakang
.
Tokoh ini berasal dari Kampung Sungai Jelutong , Mukim Ulu Jempol dalam Daerah Kuala Pilah. Dikenali sebagai Tuan Haji Hassan Basir atau nama penuhnya Hassan bin Basir bin Julat. Ibunya bernama Judah binti Deli. Haji Hassan lahir dalam tahun 1915. Beliau adalah anak tertua dari lima adik beradik. Adik-adiknya bernama Sulaiman, Sirak, Jaharah dan Haji Abdul Aziz . Bapanya bertanggung jawab secara langsung dalam mendidik anaknya ini kerana selepas memberi pendidikan asas, beliau telah menghantar Haji Hassan dalam usia belasan tahun ketika itu menuntut di Bukit Tinggi, Minangkabau Sumatera. Peliknya, beliau telah menjuruskan Haji Hassan untuk menuntut 'ilmu dunia' terlebih dahulu sebelum mengaji agama sehingga khatam.
.
Menurut cerita adiknya Tuan Haji Abdul Aziz Basir, abang beliau ini telah menuntut '"lmu dunia" terlebih dahulu seperti ilmu perdukunan, kebatinan dan persilatan. Difahamkan beliau dizinkan Allah membuat lipan atau ular jadian dari ilmu yang dituntutnya. Selepas tamat berguru ilmu dunia itu barulah beliau memulakan pengajian dalam bidang agama di Pasentran Bukit Tinggi. Butir-butir lanjut tempat pengajiannya sukar diperolehi kerana tiada maklumat jelas. Setelah mengaji agama ini, Allahyarham Tuan Haji Hassan mampu membezakan " ilmu hitam dan ilmu putih" dan beliau akhirnya alim dalam bidang agama.
.
Balik Kampung
.
Sekembalinya di kampung asalnya, beliau telah berkahwin dengan gadis sekampung bernama Somi binti Ahmad. Hasil perkahwinannya, beliau mendapat ramai anak tetapi ramai pula anak-anaknya meninggal dunia masa kecil. Anak-anak yang hidup menjadi pengubat lara mereka antaranya bernama Rosnah, Samsidar, Roslina , Norhayati , Roshidah dan Haji Nasarudin ( dikenali dengan panggilan 'Udo' ).
.
Di kampung, beliau membuka kedai runcit dan sebuah surau untuk mengajar anak-anak belajar agama. Surau tersebut bersebelahan dengan rumahnya. Kanak-kanak yang datang mengaji biasanya akan tidur di surau. Sebelum waktu maghrib, mereka akan berduyun-duyun 'balik surau'. Mereka terlebih dahulu bergotong royong mengambil air perigi untuk memenuhkan tempayan dan membersihkan surau. Beliau benar-benar komited dalam mendidik kanak-kanak tersebut. Apabila mendengar kanak-kanak tersilap membaca Al Quran, Allahyarham akan menegurnya walaupun waktu itu beliau berada dalam rumahnya.
.
Menurut Haji Abdul Aziz, beliau dan kanak-kanak lain cukup kecut perut ( takut) dengan Haji Hassan. Miskipun tidak pernah merotan budak-budak tetapi beliau semacam ada 'penggering' yang mampu menakutkan mereka. Menjelang subuh, sesiapa yang lewat atau liat bangun sholat berjemaah akan disimbah dengan air dari tempayan. Mereka kemudianya pergi pula bersekolah rendah yang terletak bersebelahan rumah Haji Hassan.
.
Membina Sekolah
.
Kerana prihatin dalam memberi pendidikan kepada kanak-kanak di kampungnya, Allahyarham Haji Hassan telah mewakafkan sebahagian tanahnya yang bersebelahan rumahnya untuk didirikan sebuah sekolah. Dengan bantuan penduduk kampung dan budak-budak yang mengaji dengan beliau, mereka telah membina sekolah. Haji Abdul Aziz menceritakan kisah mereka bergotong royong tidak kira siang dan malam untuk meratakan tanah tapak sekolah. Mereka menggunakan belulang kulit kerbau untuk menarik tanah waktu itu. Sekolah ini mula beroperasi di awal tahun 1950an. Sekolah Melayu ini kemudiannya diberi nama Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Jelutong.
.
Allahyarham Haji Hassan Basir turut dilantik sebagai guru agama di sekolah tersebut. Peringkat awalnya, sekolah baru ini hanya beratapkan rumbia dan meja serta bangkunya diperbuat dari buluh sahaja. Bapa penyusun, Allahyarham Cikgu Baharuddin bin Muhamad ( 1927 – 1985) adalah salah seorang Guru Besar sekolah ini. Beliau mula bertukar ke sekolah ini dalam pertengahan tahun 1965. Penyusun turut bertukar ke sekolah ini dalam tahun 1966 dalam darjah dua. Ketika itu bangunan sekolah baru, sebuah rumah guru dan kantin telah dibina. Bangunan lama masih berdindingkan papan tetapi masih boleh digunakan. Penyusun masih ingat padang sekolahnya belum sempurna lagi kerana berlopak-lopak dan menjadi kubang kerbau.
Photo: Menteri Pelajaran En. Khir Johari merasmikan bangunan sekolah baru SK Sg Jelutong tahun 1967. Haji Hassan Basir di belakang menteri dalam tanda bulatan.
.
Berbagai aktiviti untuk memperindahkan sekolah dan meningkatkan tahap pendidikan murid-murid telah dilaksanakan. Sudut makmal sains dan mini zoo turut disediakan. Pernah murid-murid sekolah dikerahkan melapah seekor harimau akar kulitnya dijadikan koleksi sudut sains sekolah kami. Haji Hassan pernah bercerita kepada murid-murid sekolah kisah pengalamannya di Bukit Tinggi, Sumatera. Beliau selalu diusik hantu yang kerap menjelma ketika beliau pergi atau pulang dari pusat pengajiannya. Kerana marah dengan gangguan itu, suatu hari beliau telah membakar muka hantu itu dengan suluh daun kelapa sehingga terbakar janggut hantu. Mungkin kejadian itu ada kena mengena dengan ujian mengaji ilmu dunia yang dipelajarinya.
.
Peribadi
.
Pada hemat penyusun, Allahyarham Haji Hassan seorang yang mudah mesra dan peramah bila bertemu seseorang yang sealiran dengannya. Ini kerana beliau kerap berbual panjang dengan bapa penyusun dalam pejabat Guru Besar. Banyak rahsia perjuangan masa lampau dari mereka berdua, terutamanya berkisar tentang gerakan memperjuangkan martabat bangsa dan tanahair. Bapa penyusun sendiri adalah bekas pelajar sekolah Jepun di Kua Gakuin Saimon Road, Singapura dalam tahun 1945. Menurut ibu penyusun, beliau aktif dalam gerakan pro-kemerdekaan dan mungkin terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda ( KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob kerana banyak gambar-gambar lamanya dengan tokoh ini.
.
Haji Abdul Aziz Basir memberi tahu bahawa abangnya Haji Hassan pernah ditahan tiga bulan oleh Penjajah British kerana disyakki terlibat dengan peristiwa kebangkitan orang-orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Selepas tamat perang dalam tempoh 14 hari iaitu 15 Ogos hingga 30 Ogos 1945 sebelum Tentera Berikat kembali menguasai Tanah Melayu, kumpulan Tentera Bintang Tiga yang dianggotai ramai kaum Cina telah bermaharajalela membuat kacau bilau. Tempoh tersebut merupakan satu suasana vacuum kerana tiada mana-mana kerajaan yang memerintah kecuali Kumpulan Bintang Tiga. Golongan ini telah membalas dendam terhadap penyokong Jepun dan sesiapa yang dianggap talibarut. Peristiwa itu mencatat sejarah kerana ramai orang-orang Melayu yang dianggap pro Jepun atau mangsa balas dendam peribadi menjadi sasaran. Datuk penyusun sendiri telah hilang atau dibunuh oleh Bintang Tiga ini.
.
Akibat tekanan yang mendesak ini, orang-orang Melayu dibanyak tempat dan tidak terkecuali Kawasan Ulu Jempol ini telah bersatu dan bangkit menentang Bintang Tiga. Peristiwa Perang Batu Kikir dianggap kemuncak 'bertemu buku dengan ruas' di mana hampir sebahagian besar penduduk menyertai gerakan sehingga terakam peristiwa berdarah ini dalam lipatan sejarah pergolakan antara kaum waktu itu. Sebelum kejadian Tragedi 13 Mei pula, Allahyarham pernah meramalkan bahawa negara akan dilanda suatu bala' dan menyarankan penduduk kampung berwaspada. Peringatan itu disampaikan oleh beliau di Kilang Mesin Padi Simpang Sungai Jelutong yang menjadi tempat penduduk kampung berkumpul.
.
Bersara
.
Selepas bersara, Haji Hassan mengajar agama di beberapa buah masjid dalam Kariah Mukim Ulu Jempol. Allahyarham Haji Hassan telah beberapa kali menunaikan fardhu haji dan terakhir selepas beliau bersara wajib dari perkhidmatan. Beliau juga kerap dikunjungi orang untuk berubat dan dikatakan pandai mengubat atau mengawal orang-orang yang berpenyakit gila. Beberapa orang anak cucunya berjaya melanjutkan pendidikan hingga ke Azhar dan Madinah dalam jurusan agama. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1978 dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Ghalib, Sungai Jelutong. Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Jelutong yang diasaskannya telah ditutup dalam tahun 1989 kerana bilangan murid-murid di sekolah ini telah berkurangan. Ramai anak-anak muda dan penduduk kampung telah berhijrah keluar terutama apabila pembukaan kawasan baru Felda.
.
Usaha membangunkan semula sekolah
.
Dalam tahun 1995, penyusun bersama Tuan Haji Abdul Aziz Basir iaitu adik Allahyarham Haji Hassan telah merancang untuk menjadikan bekas sekolah berkaitan Maahad Tahfiz di bawah pengurusan Madrasah Annuriah, Sungai Udang Melaka. Jawatankuasa penaja dari Kampung Sungai Jelutong telah membuat lawatan ke Annuriah bagi maksud tersebut. Lawatan balas pihak Annuriah juga berlaku di mana Tuan Guru Haji Jaliluddin Abdul Wahid, mudir Annuriah menunjukkan komitmennya untuk membantu menubuhkan maahad ini.
.
Menariknya, perbezaan kefahaman politik antara beberapa penaja dengan Haji Jaliludin selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka tidak menjadi halangan untuk menjayakan usaha murni itu. Malangnya, permohonan menggunakan bekas sekolah tidak pula diluluskan oleh Pejabat Pendidikan Negeri kerana mereka ingin menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat latihan. Kini, bekas sekolah ini dikenali Kem Pusako di bawah kendalian Pejabat Pendidikan Daerah.

10 Comments:

Blogger Islam In Us said...

Assalamualaikum,
Tuan 'penyusun' masih tinggal di Jelutong?

Dekat dgn Kg Jerojak?

6:44 PM  
Blogger essey said...

Hj hasan basir atuk den, bercakap bila perlu dan tak suko berbual kosong,,seorang yg wará..alfatpihah dan qulhuwLlah 3kali..hadiah kek dio..

8:07 AM  
Blogger essey said...

Hj hasan basir atuk den, bercakap bila perlu dan tak suko berbual kosong,,seorang yg wará..alfatpihah dan qulhuwLlah 3kali..hadiah kek dio..

8:08 AM  
Blogger demang70 said...

Den ponah belajar ugamo dgn Atok Hj Hassan, omak den pun belajar ugamo dan ngaji dgn dio, den konal semuo kaum keluargo dio, kami mempunyai tali persaudaraan yang masih dekat melalui bolah omak den, Atok haji Hassan panggil arwah uwan den Kak Lang. Semoga Allah mencucuri roh Allahyarham dan menempatkan beliau bersama dengan orang oarng yang solleh dan di redhoiNya...Al Fatihah.

11:14 PM  
Blogger Unknown said...

assalam, tuan penyusun ni nonggok mano? ghumah esey kek gholid. maso kekocik maghin, selalu nengok tv kodai arwah tok hasan ni.arwah meninggal seminggu selopeh arwah abah sey meninggal. maso sekolah jelutong, goma membaeh mempolam sidang dopan kodai tok hasan tu....

7:58 PM  
Blogger Keluarga Tiadat said...

Jika ditakdirkan sekolah itu berjaya dijadikan mahaad tahfiz & sekolah anak yatim, alangkah menariknya tanah yg diwakafkan oleh Hj Hassan melahirkan ramai penghafaz Quran dan membantu anak yatim. Bayangkan anak2 berjubah dan berserban putih di sana yg pastinya menyejukkan kampung ini.. suara anak2 sdg menghafalkan kitabullah.

4:22 PM  
Blogger Zaharah Hashim said...

Assalamualaikum. Saya menyanjungi usaha murni penulis. Saya anak watan Ulu Jompul,kampong Masjid Terentang tapi telah nenetap lama di KL. Masa kecil dulu memang mengetahui Tuan Guru Hj Hasan. Saya juga pencinta ulama pewaris nabi apa lagi di kampong sendiri. Teruskanlah niat mengadakan tahfiz tu,saya sangat menyokobgnya. Dulu kami kecil bumi Ulu Jempol kaya dengan ramai ulamak ulamak lepasan pondok sama ada dari utara tanah air mau pun Mekah. Ingin rasanya melihat kebangkitan itu. Satu keindahan dan ketenangan yg telah hilang dari bumi bertuah tempat lahirku ini. Harap perkenalkan diri kerana Allah.

5:42 AM  
Blogger Keluarga Tiadat said...

Assalamualaikum kak zaharah. Terima kasih beri komen.. saya kenal kakak. Tapi maaf tak bersedia nk kenalkan diri. Moga Allah berkati usaha ini.

Saya sdrmu dlm Islam
abu afdhal.

7:11 AM  
Blogger Zaharah Hashim said...

Alhamdulillah.Tak apa tak kenalkan diri. Saya dah boleh rasa niat dihati. Kita satu tujuan. Rindu ingin melihat sebuah kebangkitan. Anak anak hafaz dan memahami ajaran Al Quran.Ilmu tiga tungku seimbang Tauhid,Fiqh dan tasauf.
Dimasak sempurna sedap anak anak murid menikmatinya dan merekalah bakal bakal pelita atau lampu yang memberi cahaya menerangi kegelapan generasi muka yang semakin hebat cabarannya.
Saya sentiasa mendoakan agar Allah cepat memakbulkan Rumah saya tu tinggal je.Rumah emak saudara tu pun dah tinggal jua. Kalau sesuai untuk buat Pusat Tahfiz boleh kita bincang. Saya dan sepupu memang niat begitu cuma belum ada yang menyahutnya. Dari mantan mufti Murtaza lagi saya menyuarakannya.

8:37 PM  
Blogger Zaharah Hashim said...

Seorang lagi tuan guru Hj Sulaiman Nahu namanya dari kampong Kato. Mohon dikaji jua. Dia ni dulu pun sama seangkatan bilal Kasim di kampong Tengkek dan hj Maaseh di kampong Seri Melenggang. Di Terentang pun ada Hj Dolah dan hj Sulaiman. Mereka mereka ni belajar di pondok dan orang orang yang sangat zuhud. Saya nenyaksikannya kecil kecil dulu dan pernah berguru dengan mereka dalam ketiga tiga bidang tersebut.Waktu itu belum faham sangat lagi tapi bila dah mendalami dan berbaiah baru semuanya bagai diputar tayang kembali. MasyaAllah.

8:56 PM  

Post a Comment

<< Home