Ulama' Kito

Wednesday, February 14, 2007

Haji Ali Bin Haji Musa ( 1926 – 1998 )

Pendahuluan

Sepanjang pengetahuan penyusun sehingga akhir tahun 1990an, tidak banyak wujud institusi pondok yang beroperasi secara penuh masa yang dikendalikan oleh seorang bertaraf Tuan Guru di Negeri Sembilan kecuali Pondok Haji Ali di Siliau. Pondok ini terletak lebih kurang 5 km dari Pekan Rantau dan terdapat papan tanda tertulis “Yayasan Pondok Haji Ali” dalam tulisan jawi yang menjadi penunjuk jalan ke pondok tersebut. Dari simpang jalan besar, kita akan melalui kawasan taman perumahan baru dan jalan kecil bertar yang ditumbuhi semak samun di kiri kanan jalan lebih kurang 0.8 km. Ketika hidupnya, penyusun tiada kesempatan untuk menziarahi Tuan Guru ini walaupun ramai rakan-rakan seperjuangan menyebut kelebihan berguru di pondok tersebut.

Latar Belakang

Nama penuh Tuan Guru ini ialah Haji Ahmad @ Ali Bin Haji Musa. Allahyarham dilahirkan dalam tahun 1926 di kampung ini. Ibunya bernama Jumah Binti Pawang Jali. Haji Ali pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Isteri pertamanya orang tempatan, kedua dari Seremban dan terakhir dengan gadis Kelantan. Beliau memperolehi ramai anak antaranya ialah Haji Mohsin[12], Ehsan, Rodiah, Mardhiah, Rohani dan Ahmad. Dengan isteri dari Kelantan, beliau mendapat anak lelaki bernama Ibrahim yang kini masih mengaji di Sik, Kedah bersama ibunya. Kampung Siliau terletak dalam Mukim Rantau dan berhampiran Linggi yang banyak melahirkan ulama terbilang.

Pendidikan

Allahyarham Haji Ali mula berguru dengan Tuan Sheikh Ahmad Said Mufti Negeri Sembilan di Pondok Rasah, Seremban lebih kurang 5 tahun dalam tahun 1930an. Dari Sheikh Ahmad inilah beliau mewarisi amalan tarekat Ahmadiah. Selepas itu beliau memondok pula di Padang Renggas, Perak dan terakhir di Pendang, Kedah. Haji Ali pernah mengajar di Pondok Tanah Merah, Pendang iaitu berdekatan dengan Pekan Pendang sekarang. Lebih kurang 5 tahun pula ia berkhidmat di sana sebelum memutuskan untuk balik ke kampung halaman. Menurut Abdul Aziz Bin Yaakob atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Janggut,[13] Allahyarham berhenti mengajar di Pendang apabila dibayar gaji oleh Jawatankuasa Pondok. Beliau tidak mahu menerima gaji dan sebelum itu guru-guru pondok hanya menerima infak dari kutipan zakat sahaja. Beliau amat berhati-hati dalam menerima pemberian atau mencari rezeki.


Membuka Pondok

Pondok Haji Ali di Siliau ini mula dibuka di awal tahun 1970an atau sebelum tahun 1974. Penuntut-penuntut yang memondok di sini datang dari serata negeri termasuklah dari Sabah, Sarawak dan Indonesia. Ramai kalangan anak muridnya berjaya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian dalam dan luar negara seperti di Aceh, Mesir, Madinah, Yaman dan Jordan. Nama beliau turut dikenali oleh pensyarah-pensyarah di Universiti Timur Tengah kerana kebolehannya dalam mengajar ‘saraf nahu Bahasa Arab’ sehingga dikatakan ada pensyarah yang menyarankan penuntut-penuntut Melayu yang lemah menguasai Bahasa Arab supaya balik belajar dengan Tuan Guru ini.

Di pondok ini, Tuan Haji Ali mengajar secara langsung dan mencurahkan ilmu agama tanpa mengenal penat lelah. Kelebihan yang ketara ialah beliau mampu mengajar dari pagi hingga larut malam secara solo. Pernah Tuan Guru sakit dalam tahun 1987, beliau masih sanggup mengajar walaupun di perbaringan kerana uzur. Murid-murid akan mengelilingi Tuan Guru mereka untuk mendapatkan ilmu. Sebelum akhir hayatnya, ramai penuntut dari universiti tempatan datang berguru. Beliau memuji pelajar-pelajar universiti yang mudah menerima ilmu yang disampaikannya. Miskipun begitu, ramai juga penuntut-penuntut yang dianggap lemah berjaya mendapat pendidikan tinggi selepas diasuh dari pondok ini.[14]

Perwatakan

Allahyarhan Haji Ali dikatakan bertubuh badan sederhana dan peramah. Mudah bermesra dengan sesiapa sahaja tanpa membezakan usia atau kedudukan. Beliau mudah mengangkatkan kedua belah tangannya apabila bertemu kenalan. Menariknya, Tuan Guru ini gemar mendekati golongan yang dianggap nakal atau jauh dari penghayatan Islam. Padanya mereka perlu didekati dan didakwahi secara hikmah dan bukan dijauhi. Beliau juga tidak keberatan mempelawa wanita yang tidak bertudung kepala untuk membonceng ( menumpang) motosikalnya. Dalam kesempatan itu beliau akan menyampaikan dakwahnya secara tidak langsung.

Walau bagaimanapun, Allahyarham agak teguh pendirian dan tegas memastikan murid-muridnya di pondok menghayati tuntutan agama. Beliau akan mendenda sesiapa yang dijumpai merokok di kawasan pondok. Jika terserempak, alamatnya mereka akan dipaksa memikul puntung rokok tersebut.

Kegigihannya dalam mengajar agama ini dikagumi ramai orang. Beliau pernah ditanyakan tentang rahsia atau pertua yang membolehkan beliau berjaya mengajar ramai penuntut, Tuan Guru yang warak ini hanya mengulang perkataan “ senang” beberapa kali dan diakhir dengan “..sabar..”. Itulah jawapan yang ringkas dan bersahaja keluar dari mulutnya. Mungkin kerana sifat kesabaran ini membolehkan beliau mencurahkan ilmu di dada hingga larut malam tanpa mengenal erti penat lelah.

Kitab

Allahyarham sempat menghasilkan kitab terjemahan/ tafsir Al Quraan bagi Surah Al Waqiah, Kitab bagi kaedah nahu Bahasa Arab ( dalam tulisan jawi) dan berkaitan tasawuf. Banyak kitab-kitab dari tulisan tangannya dipinjam atau berpindah tangan di kalangan anak-anak muridnya.

Kelebihan Guru

Melalui perkhabaran mereka yang pernah berguru dengan beliau, mereka mengatakan Tuan Guru Haji Ali seolah-olah dapat membaca persoalan dalam minda penuntutnya dan beliau akan menjawab atau menghuraikan permasalahan tersebut secara jelas. Beliau mampu mengajar tanpa buku atau nota di tangan dan berupaya mengawasi penuntutnya seramai 98 orang dalam suatu masa. Allahyarham Haji Ali menentukan tempat pengajian lanjutan kepada anak-anak muridnya. Jika beliau merasakan mereka berkebolehan untuk membuka pondok maka diarahkannya pergi menuntut di Mekah. Sebaliknya jika terfikir untuk makan gaji maka disuruhnya ke Mesir dan lain-lain tempat.

Murid-murid yang ke Mekah bukan belajar di pusat pengajian formal tetapi mengaji dengan ulama tertentu sekitar Mekah. Pengajian dijalankan secara terbuka dan ada kalangan guru mereka itu seolah-olah telah diberitau oleh Haji Ali tentang kehadiran anak murid beliau. Antara guru-guru yang mengajar di Mekah ini ialah Sheikh Abdullah Mas’ud yang berasal dari Petani. Beliau berusia lebih 60 tahun dan menetap di Mekah sejak umur 8 tahun mengikut datuknya. Guru yang lain ialah Sheikh Muhamad Sedawa Al Patani dan Sheikh Abdul Hamid Naimul Azmi dari Lobok, Indonesia. Semua guru-guru ini adalah pengamal tarekat Ahmadiah sama dengan amalan Tuan Guru Haji Ali.[15]

Ramai orang kampung dan anak muridnya yang menunaikan fardhu haji terserempak dengan beliau di tanah suci sedangkan beliau tidak termasuk kalangan jamaah haji musim tersebut. Allahyarham juga dikatakan boleh hadir di suatu tempat yang jauh tanpa menaiki kenderaan.[16]

Kematian

Sebelum hari kematiannya, Allahyarham ada memberitahu murid-muridnya bahawa ada tetamu telah datang menjemputnya. Salah seorang muridnya Cikgu Mokhtar[17], berada di sisi Tuan Guru ketika beliau sedang di ambang sarakatul maut. Beliau dan beberapa anak murid melihat dengan jelas lidah Haji Ali bagai kaca yang berkilau. Ratib zikirullah dapat didengari keluar dari lehernya.

Malam hari kematiannya, hujan turun dengan lebat. Banyak kawasan yang tidak pernah banjir telah dinaiki air. Muridnya bernama Zamri Zakaria[18] dan Haji Nizarfar Hamthan menyaksikan pokok-pokok kayu rebah ke bumi ketika mereka memandu kereta untuk membuat laporan kematian di Balai Polis Rantau, tetapi anehnya apabila dalam perjalanan pulang tiada pula pokok-pokok yang tumbang. Terdapat juga dakwaan melihat buaya-buaya Sungai Linggi naik ke tebing sungai. Pendek kata terdapat perkara-perkara pelik tapi benar telah berlaku di hari kematian Tuan Guru yang warak ini.

Allahyarham Haji Ahmad @ Ali bin Haji Musa meninggal dunia pada tanggal 1 April 1998 dalam usia 74 tahun. Kematian beliau dianggap kehilangan besar bagi penduduk negeri ini kerana hanya beliau sahaja yang berjaya bertahan menghidupkan institusi pondok di negeri adat perpatih ini sehingga akhir abad kedua puluh. Pengajian agama di pondoknya disambung pula oleh anak sulungnya Ustaz Mohsin Haji Ali yang mengajar secara separuh masa sahaja kerana masih berkhidmat di sebuah sekolah di Linggi. Kita berdoa agar pusat pengajian ini akan berkekalan dan pewarisnya meneruskan perjuangan Tuan Guru tersebut untuk mendidik anak bangsa dalam bidang agama. Amin.

Tuesday, January 30, 2007


Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd Dahan 1907-1997

Pendahuluan

Hampir setahun penyusun tidak menyusuri jalan-jalan kampung di negeri adat perpatih dalam ekspedisi menjejaki ulama silam. Apabila membaca email yang dihantar rakan seperjuangan mengenai Ijtima’ Tholabah Pondok bagi meraikan majlis sambutan 70 tahun Madrasah Al Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim di Bongek, Rembau pada 16 hingga 18 Febuari 2007 penyusun kembali ghairah untuk menambah-muat blogsite Ulama Negeri Adat Perpatih yang telah penyusun usahakan sekian lama.

Majlis bertuah itu difahamkan akan dihadiri beberapa tokoh ulama tersohor dalam membentangkan kertas kerja dan menjadi panel forum bagi memenuhi acara yang telah disusun sebegitu rupa. Antara tokoh-tokoh yang disebut ialah Tuan Guru Dr Haji Muhibuddin Al Waliyy Al Khalidi dari Acheh tanah rencung, Tuan Guru Haji Ismail Sepanjang, Fathoni dan penyusun biografi ulama nusantara yang cukup berjasa iaitu Ustaz Wan Mohd Shaghir. Majlis gilang gemilang memperingati ulama ini akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Muhamad Hassan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Latar Belakang Tuan Guru

Penyusun menyalin semula profil tokoh ini sepertimana yang tertera dalam media internet tersebut untuk tatapan pembaca. Insyaallah, jika ada kesempatan penyusun akan menggali susur galur kehidupan tokoh ini dari waris-warisnya nanti.

Nama penuh tuan guru ialah Haji Ibrahim bin Mohd Dahan. Allahyarham dilahirkan di kampung Seri Lemak, Rembau dalam tahun 1907. Bapanya Encik Mohd Dahan bin Hassan dan ibunya pula Puan Lijah binti Mohd Arshad.

Tuan guru ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Salak dalam tahun 1916- 1922 dengan kelulusan darjah 5. Guru al Qurannya di kampung ialah Tuan Mumkin Dhahir bin Darus dan kemudian mendalami ilmu tajwid dengan Tuan Haji Muhamaad haji Mustafi. Pengajian kitab-kitab dan Bahasa Arab diikutinya melalui lidah Tuan Guru Haji Mustaffa Haji Mohamad ( rujuk biografi tokoh ini dalam lembaran berkaitan) di kuliah yang diadakan di surau Pekan Chengkau, Masjid Seri Lemak dan Masjid Pekan Rembau.

Dalam tahun 1925-1930 Haji Ibrahim melanjutkan pengajian agamanya di sekolah Arab Al Ahmadiah, Alor Setar dan belajar ilmu falak dengan Tuan Guru Haji Wan Sulaiman Wan Sidik Syeikh Islamiah, Kedah. Beliau kemudiannya memondok pula selama satu tahun setengah. Selain negeri jelapang padi itu menjadi tumpuan menimba ilmu agama, Haji Ibrahim tidak melepaskan peluang untuk menadah kitab dengan di pusat pengajian di Kota Bharu selama 4 tahun. Di sana beliau mendalami ilmu agama dengan beberapa tuan guru terkenal dan mendalami pelajaran ilmu falak yang diminatinya. Haji Ibrahim turut belajar dengan tokoh ulama terkemuka zaman itu iaitu Tok Kenali selama beberapa tahun sebelum ulama besar itu meninggal dunia.

Mencurah khidmat

Pada akhir tahun 1935 beliau balik ke kampung dan mula mengajar serta membuka pondok di Kampung Bongek. Allahyarham juga turut dipanggil mengajar dibeberapa surau dan masjid di Tampin dan Johol. Bagi merealisasikan ilmu di dada, beliau menubuhkan Madrasah Islamiah Bongek dalam tahun 1946. Difahamkan setiap tahun hingga tahun 1959, madrasah tetap mengadakan majlis ikhtifal. Ramai tokoh terkenal agama dan politik khususnya pimpinan PAS yang hadir ke majlis itu termasuklah Tuan Haji Ahmad Fuad, Profesor Zulkiefli Mohamad, Doktor Burhanudin Helmi dan Ustaz Mohd Fadhihalluah Suhaimi.

Pada tahun 1949, Allahyarham menunaikan fardhu haji dan sempat belajar kitab Ahzab dan mengambil Tarekat Ahmaddiah dari Tuan Guru Shafie Kedah. Beliau turut diberi tauliah untuk mengajar amalan tersebut.. Di sana juga beliau mengaji dengan Tuan Guru Sulaiman Ambon. Dalam tahun 1962 hingga 1968, Haji Ibrahim mengajar secara formal di Sekolah Menengah Undang Rembau. Setahun kemudiannya dilantik memegang jawatan penguatkuasa zakat fitrah baitulmal di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Tahun 1974, Haji Ibrahim lagi sekali berpeluang mengerjakan haji dan mengadakan ziarah ke Mesir, Turki dan India. Ramai rakan-rakan sepengajian beliau yang turut berbakti dalam menyibarkan ilmu agama seperti Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang , Haji Abdul Ghani pondok Pasir Mas, Tuan Guru Haji Abdul Aziz Ibrahim di Pendang, Tuan Haji Salleh Kemboja dan Haji Mohd Yatim Zainal Abidin.

Menulis Kitab

Selain berjihad mengajar ilmu agama dengan jadual kuliah yang padat, Haji Ibrahim masih sempat mengarang risalah-risalah berharga iaitu:

· Kitab Nurul Aulad.
· Taqwim Sholat bagi kawasan Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka dalam tahun 1954.
· Risalah kecil mengandungi doa, waktu sholat dan Arah Qiblat, 1976.
· Risalah mengerjakan haji dan umrah serta teks khutbah jumaat dan hari raya.

Penghargaan

Bagi mengenang jasa perkhidmatannya, Allahyarham pernah dinobatkan sebagai tokoh pengkhidmat masyarakat Daerah Rembau oleh Dato’ Undang Luak Rembau dan Pentadbir Daerah Rembau pada 16 Oktober 1988.

Thursday, April 20, 2006

Haji Hassan Basir ( 1915 – 1978)
.
Latar Belakang
.
Tokoh ini berasal dari Kampung Sungai Jelutong , Mukim Ulu Jempol dalam Daerah Kuala Pilah. Dikenali sebagai Tuan Haji Hassan Basir atau nama penuhnya Hassan bin Basir bin Julat. Ibunya bernama Judah binti Deli. Haji Hassan lahir dalam tahun 1915. Beliau adalah anak tertua dari lima adik beradik. Adik-adiknya bernama Sulaiman, Sirak, Jaharah dan Haji Abdul Aziz . Bapanya bertanggung jawab secara langsung dalam mendidik anaknya ini kerana selepas memberi pendidikan asas, beliau telah menghantar Haji Hassan dalam usia belasan tahun ketika itu menuntut di Bukit Tinggi, Minangkabau Sumatera. Peliknya, beliau telah menjuruskan Haji Hassan untuk menuntut 'ilmu dunia' terlebih dahulu sebelum mengaji agama sehingga khatam.
.
Menurut cerita adiknya Tuan Haji Abdul Aziz Basir, abang beliau ini telah menuntut '"lmu dunia" terlebih dahulu seperti ilmu perdukunan, kebatinan dan persilatan. Difahamkan beliau dizinkan Allah membuat lipan atau ular jadian dari ilmu yang dituntutnya. Selepas tamat berguru ilmu dunia itu barulah beliau memulakan pengajian dalam bidang agama di Pasentran Bukit Tinggi. Butir-butir lanjut tempat pengajiannya sukar diperolehi kerana tiada maklumat jelas. Setelah mengaji agama ini, Allahyarham Tuan Haji Hassan mampu membezakan " ilmu hitam dan ilmu putih" dan beliau akhirnya alim dalam bidang agama.
.
Balik Kampung
.
Sekembalinya di kampung asalnya, beliau telah berkahwin dengan gadis sekampung bernama Somi binti Ahmad. Hasil perkahwinannya, beliau mendapat ramai anak tetapi ramai pula anak-anaknya meninggal dunia masa kecil. Anak-anak yang hidup menjadi pengubat lara mereka antaranya bernama Rosnah, Samsidar, Roslina , Norhayati , Roshidah dan Haji Nasarudin ( dikenali dengan panggilan 'Udo' ).
.
Di kampung, beliau membuka kedai runcit dan sebuah surau untuk mengajar anak-anak belajar agama. Surau tersebut bersebelahan dengan rumahnya. Kanak-kanak yang datang mengaji biasanya akan tidur di surau. Sebelum waktu maghrib, mereka akan berduyun-duyun 'balik surau'. Mereka terlebih dahulu bergotong royong mengambil air perigi untuk memenuhkan tempayan dan membersihkan surau. Beliau benar-benar komited dalam mendidik kanak-kanak tersebut. Apabila mendengar kanak-kanak tersilap membaca Al Quran, Allahyarham akan menegurnya walaupun waktu itu beliau berada dalam rumahnya.
.
Menurut Haji Abdul Aziz, beliau dan kanak-kanak lain cukup kecut perut ( takut) dengan Haji Hassan. Miskipun tidak pernah merotan budak-budak tetapi beliau semacam ada 'penggering' yang mampu menakutkan mereka. Menjelang subuh, sesiapa yang lewat atau liat bangun sholat berjemaah akan disimbah dengan air dari tempayan. Mereka kemudianya pergi pula bersekolah rendah yang terletak bersebelahan rumah Haji Hassan.
.
Membina Sekolah
.
Kerana prihatin dalam memberi pendidikan kepada kanak-kanak di kampungnya, Allahyarham Haji Hassan telah mewakafkan sebahagian tanahnya yang bersebelahan rumahnya untuk didirikan sebuah sekolah. Dengan bantuan penduduk kampung dan budak-budak yang mengaji dengan beliau, mereka telah membina sekolah. Haji Abdul Aziz menceritakan kisah mereka bergotong royong tidak kira siang dan malam untuk meratakan tanah tapak sekolah. Mereka menggunakan belulang kulit kerbau untuk menarik tanah waktu itu. Sekolah ini mula beroperasi di awal tahun 1950an. Sekolah Melayu ini kemudiannya diberi nama Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Jelutong.
.
Allahyarham Haji Hassan Basir turut dilantik sebagai guru agama di sekolah tersebut. Peringkat awalnya, sekolah baru ini hanya beratapkan rumbia dan meja serta bangkunya diperbuat dari buluh sahaja. Bapa penyusun, Allahyarham Cikgu Baharuddin bin Muhamad ( 1927 – 1985) adalah salah seorang Guru Besar sekolah ini. Beliau mula bertukar ke sekolah ini dalam pertengahan tahun 1965. Penyusun turut bertukar ke sekolah ini dalam tahun 1966 dalam darjah dua. Ketika itu bangunan sekolah baru, sebuah rumah guru dan kantin telah dibina. Bangunan lama masih berdindingkan papan tetapi masih boleh digunakan. Penyusun masih ingat padang sekolahnya belum sempurna lagi kerana berlopak-lopak dan menjadi kubang kerbau.
Photo: Menteri Pelajaran En. Khir Johari merasmikan bangunan sekolah baru SK Sg Jelutong tahun 1967. Haji Hassan Basir di belakang menteri dalam tanda bulatan.
.
Berbagai aktiviti untuk memperindahkan sekolah dan meningkatkan tahap pendidikan murid-murid telah dilaksanakan. Sudut makmal sains dan mini zoo turut disediakan. Pernah murid-murid sekolah dikerahkan melapah seekor harimau akar kulitnya dijadikan koleksi sudut sains sekolah kami. Haji Hassan pernah bercerita kepada murid-murid sekolah kisah pengalamannya di Bukit Tinggi, Sumatera. Beliau selalu diusik hantu yang kerap menjelma ketika beliau pergi atau pulang dari pusat pengajiannya. Kerana marah dengan gangguan itu, suatu hari beliau telah membakar muka hantu itu dengan suluh daun kelapa sehingga terbakar janggut hantu. Mungkin kejadian itu ada kena mengena dengan ujian mengaji ilmu dunia yang dipelajarinya.
.
Peribadi
.
Pada hemat penyusun, Allahyarham Haji Hassan seorang yang mudah mesra dan peramah bila bertemu seseorang yang sealiran dengannya. Ini kerana beliau kerap berbual panjang dengan bapa penyusun dalam pejabat Guru Besar. Banyak rahsia perjuangan masa lampau dari mereka berdua, terutamanya berkisar tentang gerakan memperjuangkan martabat bangsa dan tanahair. Bapa penyusun sendiri adalah bekas pelajar sekolah Jepun di Kua Gakuin Saimon Road, Singapura dalam tahun 1945. Menurut ibu penyusun, beliau aktif dalam gerakan pro-kemerdekaan dan mungkin terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda ( KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob kerana banyak gambar-gambar lamanya dengan tokoh ini.
.
Haji Abdul Aziz Basir memberi tahu bahawa abangnya Haji Hassan pernah ditahan tiga bulan oleh Penjajah British kerana disyakki terlibat dengan peristiwa kebangkitan orang-orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Selepas tamat perang dalam tempoh 14 hari iaitu 15 Ogos hingga 30 Ogos 1945 sebelum Tentera Berikat kembali menguasai Tanah Melayu, kumpulan Tentera Bintang Tiga yang dianggotai ramai kaum Cina telah bermaharajalela membuat kacau bilau. Tempoh tersebut merupakan satu suasana vacuum kerana tiada mana-mana kerajaan yang memerintah kecuali Kumpulan Bintang Tiga. Golongan ini telah membalas dendam terhadap penyokong Jepun dan sesiapa yang dianggap talibarut. Peristiwa itu mencatat sejarah kerana ramai orang-orang Melayu yang dianggap pro Jepun atau mangsa balas dendam peribadi menjadi sasaran. Datuk penyusun sendiri telah hilang atau dibunuh oleh Bintang Tiga ini.
.
Akibat tekanan yang mendesak ini, orang-orang Melayu dibanyak tempat dan tidak terkecuali Kawasan Ulu Jempol ini telah bersatu dan bangkit menentang Bintang Tiga. Peristiwa Perang Batu Kikir dianggap kemuncak 'bertemu buku dengan ruas' di mana hampir sebahagian besar penduduk menyertai gerakan sehingga terakam peristiwa berdarah ini dalam lipatan sejarah pergolakan antara kaum waktu itu. Sebelum kejadian Tragedi 13 Mei pula, Allahyarham pernah meramalkan bahawa negara akan dilanda suatu bala' dan menyarankan penduduk kampung berwaspada. Peringatan itu disampaikan oleh beliau di Kilang Mesin Padi Simpang Sungai Jelutong yang menjadi tempat penduduk kampung berkumpul.
.
Bersara
.
Selepas bersara, Haji Hassan mengajar agama di beberapa buah masjid dalam Kariah Mukim Ulu Jempol. Allahyarham Haji Hassan telah beberapa kali menunaikan fardhu haji dan terakhir selepas beliau bersara wajib dari perkhidmatan. Beliau juga kerap dikunjungi orang untuk berubat dan dikatakan pandai mengubat atau mengawal orang-orang yang berpenyakit gila. Beberapa orang anak cucunya berjaya melanjutkan pendidikan hingga ke Azhar dan Madinah dalam jurusan agama. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1978 dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Ghalib, Sungai Jelutong. Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Jelutong yang diasaskannya telah ditutup dalam tahun 1989 kerana bilangan murid-murid di sekolah ini telah berkurangan. Ramai anak-anak muda dan penduduk kampung telah berhijrah keluar terutama apabila pembukaan kawasan baru Felda.
.
Usaha membangunkan semula sekolah
.
Dalam tahun 1995, penyusun bersama Tuan Haji Abdul Aziz Basir iaitu adik Allahyarham Haji Hassan telah merancang untuk menjadikan bekas sekolah berkaitan Maahad Tahfiz di bawah pengurusan Madrasah Annuriah, Sungai Udang Melaka. Jawatankuasa penaja dari Kampung Sungai Jelutong telah membuat lawatan ke Annuriah bagi maksud tersebut. Lawatan balas pihak Annuriah juga berlaku di mana Tuan Guru Haji Jaliluddin Abdul Wahid, mudir Annuriah menunjukkan komitmennya untuk membantu menubuhkan maahad ini.
.
Menariknya, perbezaan kefahaman politik antara beberapa penaja dengan Haji Jaliludin selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka tidak menjadi halangan untuk menjayakan usaha murni itu. Malangnya, permohonan menggunakan bekas sekolah tidak pula diluluskan oleh Pejabat Pendidikan Negeri kerana mereka ingin menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat latihan. Kini, bekas sekolah ini dikenali Kem Pusako di bawah kendalian Pejabat Pendidikan Daerah.

Penyuluh Jalan

Tuan Tulis
( Memadamkan kebakaran di Mekah)

Tuan Tulis @ Ismail Jaaman ( 1840 - 1923)


Latar Belakang

Makam Tuan Tulis kerap dikunjungi orang ramai sejak dahulu kerana menghormatinya sebagai orang alim dan sholeh. Mungkin kerana dakwaan bahawa beliau keramat atau bertaraf wali maka ada pula yang melakukan perkara-perkara bidaah ketika mengunjungi makam beliau. Beliau dipercayai lahir dalam tahun 1840an di Kampung Talang iaitu dalam Daerah Kuala Pilah dan yatim piatu sejak kecil.
Apabila berusia lapan tahun, beliau mula hidup berdikari dan berakhlak mulia. Tuan TulisTuan Tulis mendapat nama gara-gara kerajinan beliau menyalin isi kitab-kitab yang dimilikinya atau didakwa pernah menjadi jurutulis gurunya. Terdapat juga dakwaan bahawa beliau menulis kerana tidak mampu membeli kitab-kitab pengajian maka beliau terpaksa menyalin semula kitab-kitab yang dipelajarinya. Tuan Tulis menulis seolah-olah seperti membaca kitab-kitab itu. Ada pula memanggilnya Tuan Tulus kerana sifat peribadinya yang tulus ikhlas dalam menyampaikan dakwah. Beliau dipercayai lahir dalam tahun 1840an di Kampung Talang.
Menghilangkan Diri
Menurut cerita orang-orang tua, ketika usianya 15 tahun saudara maranya ingin menjodohkan beliau. Kerana beliau tidak bersedia atau tidak bersetuju maka Tuan Tulis pun membawa dirinya keluar dari kampung tersebut. Disebabkan hampir 48 tahun atau setengah abad menghilangkan diri, saudara maranya telah menyangka beliau telah meninggal dunia. Sebetulnya beliau pergi Temerloh, Pahang dan mengaji agama dibanyak tempat seperti di Pancur, Sanggang, Lubuk Kawah dan lain-lain tempat. Di Lubuk Kawah beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kelantan.
Penulis buku "Tujuh Wali Melayu" Saudara Abdul Ghani Said menyebut kitab yang disalin oleh Tuan Tulis jilid pertama kitab Tafsir Jalalain dan tafsir Al Quran 30 juzuk masih ada dalam simpanan Tuan Haji Ismail Hussein, imam Masjid Tuan Tulis di Kuala Talang. Kitab-kitab tersebut dikatakan ditulis dengan dakwat campuran arang para dan getah limau kasturi. Penanya pula dari bilah segar kabung.
Dipujuk Pulang
Apabila mendapat tahu Ismail Jaaman ini masih hidup di Temerloh, saudara maranya datang menjemput dan memujuk beliau supaya pulang ke kampung halamannya. Beliau bersetuju pulang dalam tahun 1903. Menariknya, Ismail Jaaman dirayu lagi supaya berkahwin kerana umurnya ketika itu 63 tahun. Kali ini dia bersetuju tetapi hayat alam rumah tangganya selama tiga hari sahaja. Beliau lebih selesa membujang sepanjang hayatnya.Segi perawakannya, Tuan Tulis bertubuh kecil dan gemar memakai kain pelikat, berseluar jerut, baju Melayu dan bertongkat.
Amalan Hidup
Dalam tempoh beliau kembali di kampungnya, Allahyarham Tuan Tulis banyak membuat kerja kebajikan dalam masyarakat. Beliau tidak berat tulang untuk menolong orang susah, memberi nasihat dan menyeru amal maaruf dan nahi mungkar. Kesannya ramailah orang-orang yang dijadikan sahabat kembali taat dalam ibadah walaupun dulunya liat dalam menunaikan tuntutan agama. Menyentuh tugas membuka kelas pengajian, penyusun melihat ada sedikit perbezaan maklumat antara Saudara Nawawi Haji Indek dalam buku " Alim Ulama Negeri Sembilan" ( cetakan 1971) dengan penulis buku " Tujuh Wali Melayu" Saudara Abdul Ghani Said. Nawawi Haji Indek menyatakan Tuan Tulis tidak mengajar agama kepada orang lain secara langsung seperti membuka kelas pengajian. Sebaliknya, Abdul Ghani dalam penyelidikannya meriwayatkan Tuan Tulis ada membuka kelas pengajian di surau atau di rumahnya.
Kebakaran di Mekah
Dipercayai bahawa Tuan Tulis mewarisi Tarekat Satariah dan kuat beribadah. Diriwayatkan semasa hayatnya, terdapat perkara-perkara pelik berlaku pada Tuan Tulis. Antaranya ialah beliau sempat ke Mekah membantu memadamkan kebakaran besar pada awal tahun 1900 ketika tukang cukurnya masuk ke rumah untuk mengasah pisau cukurnya. Kerbau-kerbau milik beliau juga akur dengan perintahnya tidak memakan padi orang di sawah dan tetapi makan rumput sahaja. Keanehan lain pula ialah beliau pergi mengubat Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhamad di London dengan air jampi sedangkan beliau telah meninggal dunia tiga tahun sebelum itu. Kisah menarik sifat kewalian beliau boleh dibaca dari buku Tujuh Wali Melayu" karangan Saudara Abdul Ghani Said.
Beliau amat diingati dengan kejayaan beliau menghasilkan sebuah masyhaf Al-Quran tulisan tangan. Beliau juga telah berusaha mendirikan sebuah masjid di Kg Kuala Talang pada tahun 1920 dan masih digunakan sehingga ke hari ini.
Meninggal Dunia
Tuan Tulis meninggal dunia dalam tahun 1923 selepas subuh hari ke sepuluh bulan Ramadhan ketika berusia 83 tahun. Beliau dikebumikan di Kawasan Masjid Kuala Talang, Tanjung Ipoh. Tuanku Muhamad Yang Dipertuan Besar telah perkenan membina makamnya di sana sejurus bila baginda balik dari England selepas diubati oleh Tuan Tulis. Mengikut kepercayaan masyarakat tempatan, jenazahnya dikatakan ghaib secara tiba-tiba semasa dituruni ke liang lahad.

Posted at 09:45 am by AfdhalMake a comment